PROGRAM LAMBAIAN KAABAH DAN SIMULASI HAJI 2026
Khamis, 1 Oktober 2026 – Panitia Pendidikan Islam SMK Bukit Katil telah menganjurkan Program Lambaian Kaabah dan Simulasi Haji bertempat di Dewan Mutiara Kencana dan Padang Sekolah SMK Bukit Katil. Program ini bermula pada jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari dan melibatkan penglibatan semua pelajar Tingkatan 4.
Penganjuran program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan secara teoritikal dan praktikal berkenaan rukun, wajib serta tata cara pelaksanaan ibadah haji kepada para pelajar.
Selain dapat memperkukuh kefahaman akademik dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, program ini juga berhasrat menyemai rasa rindu dan cinta akan tanah suci serta menghayati ibrah di sebalik setiap amalan dalam ibadah haji.
Program ini telah diselenggarakan dengan kehadiran penceramah jemputan khas, Ustaz Zaid Muhammad, yang merupakan Pengurus Pusat Pengajian Al-Quran Sistem Individu (PUPAQSI). Beliau telah menyampaikan ceramah yang sangat berinformasi serta membimbing para pelajar sepanjang sesi simulasi haji dijalankan.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar telah berpeluang merasai sendiri pengalaman menjalankan latihan amali amalan-amalan haji seperti tawaf, sa’i, dan wukuf. Pengalaman secara langsung ini memberikan gambaran yang lebih jelas, berkesan serta mendalam kepada pelajar berbanding pembelajaran di dalam bilik darjah semata-mata.
Secara keseluruhannya, Program Lambaian Kaabah dan Simulasi Haji 2026 ini telah berjalan dengan lancar dan jayanya. Diharapkan penganjuran program ini dapat membina sahsiah diri yang cemerlang, meningkatkan kefahaman keagamaan, serta menyemai azam dalam diri setiap murid untuk menjadi duyufurrahman suatu hari nanti.
Penghayatan • Kefahaman • Penghayatan Ibadah • Kemenjadian Murid ????????????
#SMKBK
#ppdmelakatengah
#LambaianKaabah2026
#SimulasiHaji
#PanitiaPendidikanIslam
#PendidikanIslam
#KemenjadianMurid
#SMKBukitKatil